Dah semakin usang blog ne.. akan diaktifkan kembali dengan entry semasa dan nota-nota lama semasa pengajian dulu.. since banyak pantang larang kat FB tentang posting.. ini tak boleh, itu tak boleh.. post makanan tak boleh.. kesian pada yang lapar dan tak mampu makan katanya.. lorr.. pada ai, kalau dah tak mampu makan, mereka tak akan mampu bersosial atau bermedia sosial dan membaca atau memiliki gajet untuk bermedia sosial dan membaca all those entry.. lagi pula, FB ai private to public and ai do believe all my FB's friends mampu je makan sodap2.. even lebih sodap dari ai.. ahaks!!.. punnnnn begitu, bagi menghormati sekeliling, ai think ai follow je.. buh kat blog lebih selamat.. dalam blog pun tak boleh kalu, baik ko gi cocok mata kau kalau semua benda ko tak boleh nak tengok!. :p
Terlibat dengan salah sorang kawan FB yang membincangkan tentang isu-isu "agama adalah candu masyarakat", ai terkenang assignment yang ai buat dulu berkisar tentang agama dan masyarakat.. here ada review assignment tersebut.. isi penuh assignment uols fikir sendiri.. lagipun itu my personal thought.. kalau ada student yang nak amik point-point di bawah sebagai isi assignment uols, pastikan dengan olahan sendiri.. kantoi palagiat jangan salahkan mak!..
Mak selitkan keputusan mak sekali for that particular semester (year).. Kena ingat, result ini merangkumi dapatan hasil dari Paper Assignment + Review, Exam Pertengahan dan Exam Akhir. Paper Assignment + Review ini hanyalah mewakili 30% markah keseluruhan.
AGAMA DAN MASYARAKAT
Marx mengatakan bahawa agama ialah dadah masyarakat. Bincangkan idea ini.
1.0 Pendahuluan
Menurut Wikipedia, Agama pada lazimnya bermakna kepercayaan kepada Tuhan, atau sesuatu kuasa yang ghaib dan sakti seperti Dewa, dan juga amalan dan institusi yang berkait dengan kepercayaan tersebut. Agama dan kepercayaan merupakan dua pekara yang sangat berkaitan. Tetapi Agama mempunyai makna yang lebih luas, yakni merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang kohensif, dan kepercayaan ini adalah mengenai aspek ketuhanan.
Kepercayaan yang hanya melibatkan seorang individu lazimnya tidak dianggap sebagai sebuah agama. Sebaliknya, agama haruslah melibatkan sebuah komuniti manusia.
Dari itu, Agama adalah fenomena masyarakat yang boleh dikesan melalui fenomena seperti yang berikut:
• Perlakuan ; seperti sembahyang, membuat sajian, perayaan dan upacara.
• Sikap ; seperti sikap hormat, kasih ataupun takut kepada kuasa luar biasa dan anggapan suci dan bersih terhadap agama.
• Pernyataan ; seperti jampi,mantera dan kalimat suci.
• Benda-benda material ; yang zahir seperti bangunan. Contohnya masjid, gereja, azimat dan tangkal.
Salah satu lagi ciri agama ialah ia berkaitan dengan tatasusila masyarakat. Ini bermakna agama bukan sahaja merupakan soal perhubungan antara manusia dengan tuhan, malah merupakan soal hubungan manusia dengan manusia.
"Agama adalah nafas lega makhluk yang tertindas, hatinya dunia yang tidak punya hati, rohnya keadaan yang tanpa roh. Agama adalah candu masyarakat.” Itulah kata-kata Karl Marx, dan kata-katanya dilihat seakan-akan benar bahawa ‘Agama ialah dadah masyarakat’. Bukan ditujukan hanya setakat kepada umat Islam yang mana mengaku mementingkan kesejahteraan dan kedamaian tetapi juga kepada semua anutan dan ajaran agama di muka bumi ini.
Mengapa Marx menyebut agama sebagai candu atau dadah masyarakat? Dadah atau ‘Drug’ dalam bahasa Inggeris lazimnya diertikan sebagai ubat-ubatan. Namun perkara penting mengenai dadah ialah ianya selalu di salah guna atau ‘misuse’ dan ‘abuse’. Manakala menurut Wikipedia pula, dadah juga bermaksud bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubasuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu.
2.0 Pandangan Karl Marx Tentang Agama Dan Masyarakat
Apabila Marx mengatakan bahawa agama adalah dadah masyarakat, baginya agama adalah semacam eskapisme dan usaha untuk keluar dari dunia yang nyata agar dapat masuk suatu dunia lain yang tidak ada lagi penderitaan dan kesusahan atau berada dalam suatu dunia yang sempurna. Agama dengan janjinya tentang syurga yang penuh kebahagiaan. Namun sayangnya, dunia sempurna itu adalah mimpi dan khayalan sahaja. Oleh itu, tanpa disadari manusia menipu diri dengan mengejar dunia sempurna itu.
Bagi Karl Marx, ia melihat bahwa agama dijadikan pelarian. Agama dijadikan tempat bagi bergantung. Agama juga mengajar masyarakat untuk tunduk. Tunduk pada kepemimpinan Tuhan. Agama tempat bergantung tersebut mengajarkan agar masyarakat menerima penindasan kapitalisme sebagai bentuk rahmat dan anugerah tersendiri dari Tuhan. Bagi Marx, agama tersebut mengkhianati masyarakat dan masyarakat bukannya mengelak, malah semakin memuja agama yang dianuti oleh masyarakat tersebut.
Berikut ini diberikan beberapa perkara analogi Marx terhadap agama sebagai candu masyarakat;
• Mengambil agama sebagai ubat untuk menyembuhkan sakit akibat di tindas hanya akan memberikan kesembuhan sementara saja.
• Kesembuhan, walau secra singkat nampak nyata, namun merupakan sebuah kesembuhan ilusi pada jangka panjang.
• Untuk menerima kesembuhan yang nyata dan lama, seseorang harus menyerang penyebab sakit tersebut (sistem eksploitasi ekonomi) dan akhirnya akan memberikan kesan penyembuhan.
• Selagi penyembuhan itu telah dilakukan, seseorang tidak perlu lagi ubat agama sementara di sana tidak ada lagi gejala penyakit kaum tertindas yang perlu ditumpulkan.
• Agama boleh berperanan sebagai alasan untuk melakukan represi dan dominasi mahupun eksploitasi terhadap kelas lainnya. Agama juga dapat berperanan menjadi penenang bagi rasa sakit bagi kaum tertindas akibat penindasan untuk menerima keadaan tertindas dan kemiskinannya sehingga tidak mahu memberontak atau mengubah nasibnya.
Mengapa Karl Marx berpandangan demikian? Kerana Marx sangat tidak berpuas hati melihat masyarakat Eropah saat itu diperlakukan secara tidak adil dan ditindas. Tenaga kelas pekerja diperas habis-habisan oleh kelas borjuis dalam konsep kapitalisme. Perkara yang lebih menyedihkan lagi baginya adalah, mereka (kelas pekerja) yang ditindas itu tidak mampu berbuat apa-apa untuk mempertahankan kebajikan mereka, apa yang mereka mampu buat hanyalah mampu berdiam diri sahaja dan mereka hanya berdoa yakni bergantung kepada Tuhan.
Dengan pemikiran tersebut, Karl Max membuat sebuah fahaman yang dikembangkannya dari fahaman sosialisme. Fahaman yang kita kenal hari ini dengan nama fahaman komunisme. Karl Marx ingin membentuk sebuah sistem sosialisme komunisme dalam masyarakat, yang akan dicapainya dengan jalan perjuangan revolusi sosialisme. Jalan tersebut mengabsahkan bahwa telah terjadi sebuah kepincangan dalam kehidupan masyarakat di mana terdapat kelas-kelas dalam sistem kehidupan masyarakat, lebih tepatnya dalam sistem ekonominya. Marx berpendapat ada dua kelas dalam sistem masyarakat iaitu penguasa/pemodal (borjuasi) dan kelas kaum buruh dan kaum tani (proletariat).
Perkara utama dari sosialisme itu sendiri adalah kesamaan dari segi pemilikan aset atau harta masyarakat, dengan harapan supaya keadilan keadilan tercipta. Maka jalan satu-satunya untuk menentang perbezaan kelas ini dan mewujudkan cita-cita sosialisme adalah melakukan jalan revolusi, menghasut masyarakat lainnya untuk sejalan dengan menghancurkan kelas borjuasi, merebut harta kekayaannya, dan membatasi pemilikan harta mereka.
3.0 Agama Adalah Keperluan Masyarakat
Marx mungkin tidak salah sepenuhnya. Agama memang menjadi tempat pelarian, agama sering kali menjadi tempat bergantung. Tempat untuk mencari kedamaian di saat-saat kita merasa hampa, tertekan, atau mengalami masalah yang kita sendiri berfikir tidak sanggup menghadapinya. Agama mengajarkan kita untuk terus bersyukur, bersabar, dan bersandar kepada Tuhan. Agama memang membuat kita tenang. Seperti yang kita sudah sedia maklum, dunia ini adalah sebuah kehidupan, dunia ini diisi oleh kumpulan-kumpulan manusia yang kemudiannya kita sebut sebagai sebagai masyarakat, terdapat sebuah peraturan yang mengikat kehidupan masyarakat tersebut, bukan sebuah pengekangan namun sebuah ketertiban dan adab, dan itulah yang kemudian kita sebut sebagai agama.
Agama telah ada sejak manusia wujud dan menjadi bahagian yang tidak terpisah daripada kehidupan manusia. Meskipun kini ilmu pengetahuan dan teknologi maju dengan pesat, manusia tetap memerlukan agama. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat memberi jawapan atas pertanyaan mengenai erti dan tujuan hidup manusia, yang hanya boleh dijawab oleh agama. Saat ini kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap di perlukan oleh manusia sepanjang masa.
Ada pelbagai macam motivasi yang membuat manusia memeluk suatu agama. Manusia juga memerlukan penjelasan atas pertanyaan mengenai erti, asal dan tujuan hidup. Jawapan atas semua itu hanya boleh didapatkan daripada agama.
Oleh itu, Marx salah dalam satu hal. Agama bukanlah seperti dadah. Agama tidak membuat manusia menjadi lemah, tetapi agama memberikan kita pengharapan. Pengharapan yang akan membangun hidup kita, bukan seperti dadah yang membuat manusia menuju kehancuran. Dalam pandangan Islam, keberagamaan adalah fitrah sesuatu yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Oleh kerana agama adalah fitrah atau sejalan dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh manusia, kalau bukan sejak muda, maka menjelang akhir usianya.
4.0 Mengapa Manusia Memerlukan Agama.
Satu persoalan yang berlegar dalam pemikiran manusia moden masa kini ialah tentang apakah manusia memerlukan agama? Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa manusia sentiasa memerlukan agama. Keperluan manusia kepada agama dapat dilihat dari pelbagai sudut iaitu :-
4.1 Beragama merupakan fitrah semulajadi manusia. Ini menunjukkan bahawa secara fitrahnya manusia ingin memuja sesuatu yang dianggapnya tinggi dan agung. Dalam masyarakat primitif misalnya mereka memuja sesuatu yang dianggap penting dan mempengaruhi kehidupan mereka. Oleh itu mereka memuja matahari, pantai dan makhluk yang dianggap penting. Dalam keadaan terdesak, manusia akan mencari dan mengingati Tuhan. Hal yang demikian menegaskan bahawa manusia amat memerlukan agama untuk memenuhi naluri tersebut.
4.2 Aspek kejadian manusia secara asasnya dibentuk berdasarkan unsur rohani, akal dan fizikal. Aspek rohani merupakan aspek penting kejadian manusia. Pemupukan nilai kerohanian yang sempurna hanya dapat dipenuhi oleh agama yang benar. Kerana itulah ramai dari mereka yang kaya, popular dan mewah akhirnya kembali kepada kehidupan beragama.
4.3 Agama yang benar akan memberikan panduan dan arahan serta matlamat kehidupan yang betul. Dengan adanya matlamat yang jelas dan betul, manusia akan dapat melayari hidupnya dengan teratur. Dengan sifat yang berserah dan tawaduk kepada agama dan mematuhi peraturan-peraturan yang digariskan oleh agama, mansia dapat mengekalkan adab-adab kehidupan dengan tujuan untuk mendapat kesejahteraan dan rahmat dari Tuhan. Oleh itu, seamanan sejagat akan dapat dikekalkan.
4.4 Agama merupakan unsur yang mampu membimbing kehidupan manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan. Agama yang benar terbukti mampu memberi bimbingan yang sempurna kepada penganutnya. Penganutnya akan bersabar jika ditimpa musibah dan bersyukur apabila mendapat nikmat kesenangan. Dengan ini, manusia yang ditimpa musibah tidak akan melakukan kebinasaan dan mereka yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kesenangannya akan sentiasa berbuat baik yang bukan sahaja member manfaat kepada diri mereka sendiri tetapi juga dapat member manfaat kepada orang lain juga. Perkara ini akan memakmurkan kesejahteraan masyarakat itu sendiri.
4.5 Akal manusia mempunyai kelemahan. Walaupun diakui bahawa akal manusia mempunyai keistimewaan namun ia memerlukan bimbingan agama yang benar. Antara kelemahan akal manusia ialah bahawa akal manusia seringkali terpengaruh dengan keinginan dan hawa nafsu yg negatif. Akal manusia sering juga terpengaruh oleh suara ramai, sedangkan suara ramai tidak semestinya mengambarkan kebenaran mutlak. oleh itu, untuk menentukan sesuatu itu adalah benar secara mutlak, bimbingan dari agama yang benar amat diperlukan supaya tidak ada fahaman yang songsang yang boleh menghancurkan manusia itu sendiri.
Nyatalah manusia walau seistimewa mana sekalipun, mereka masih memerlukan agama yang dianggap benar sebagai anutan. Tidak kira apa agama sekalipun kerana setiap agama yang ada fitrahnya menyeru penganutnya untuk berbuat baik sesama mansuia dan meninggalkan perkara-perkara yang membawa kepada keburukan sesama manusia berlandaskan peraturan-peraturan yang digariskan di dalam kitab agama masing-masing. Dengan itu manusia akan dapat hidup dengan teratur, beradab dan dapat mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
5.0 "Misuse" dan "Abuse" dalam Agama.
Dalam konteks masyarakat hari ini, agama Islam itu semata-mata adalah alat kemudahan memperolehi keuntungan. Samada keuntungan peribadi, kuasa, perniagaan, politik dan
lain-lain. Islam digunakan oleh pihak tertentu sebagai pelaris
jualan. Islam dilabel dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana
kecintaan kepada Islam, atau benar-benar tunduk dengan tuntutan Islam itu sendiri, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang
ramai dan senterusnya mendatangkan keuntungan bagi pihak tertentu.
Pelaris Jualan: - Kismis yang kononya telah dijampi dan menerangi hati mampu untuk menerangi minda untuk memperolehi minda yang cergas dan cemerlang? Kebergantungan selain dari usaha belajar? Air penerang hati?
Kuasa dalam politik : Parti-parti yang berlambangkan Islam.. namun tetap berpaksi kepada kekuasaan dalam politik sehingga mengangap perpecahan dan salah laku itu sebagai "dibolehkan".
Perniagaan : Tudung-tudung yang berwarna-warni atas nama islamik namun kelihatan sangat "menarik" di mata lelaki sehingga boleh menjadi "penarik daya seksual" bilamana ada golongan lelaki yang telah meletak syarat "cantik dan menarik" itu dari jenis tudung yang dipakai sehingga keluar pertanyaan yang membawa pilihan "tudung bawal atau shawl"? Sedar atau tidak, tudung yang digayakan wanita telah menjadi daya tarikan seksual kepada kaum lawannya.
Keuntungan Peribadi : Ada segelintir individu yang mengelarkan diri mereka ilmuan agama tanpa segan silu melebel diri sebagai 'ustad' namun ceramah penuh dengan caci maki, hadis-hadis palsu yang disebarkan dan kadang-kadang ceramah itu berbaur lucah. Mereka berpendapat ceramah perlu disampaikan dengan cara demikian untuk menarik minat hadirin mendengar tanpa mereka sedar, atau mereka buat-buat tidak sedar, mereka telah menyajikan apa yang hadirin mahu dengar dan bukan apa yang hadirin perlu dengar. Dengan sedar atau buat-buat tidak sedar, kita boleh melihat apa bentuk 'hiburan' yang menarik minat masyarakat untuk didengar.
Bukan sedikit yang kononnya para ilmuan Islam ini yang sangat 'demand' dengan meminta bayaran tinggi dan kemudahan lain-lain yang mewah sekiranya mereka diundang untuk memberikan ceramah sebagai langkah berkongsi ilmu. Sedangkan ilmu-ilmu yang disampaikan adalah terlalu asas dalam kelas pengetahuan umum dan boleh diperolehi dengan bacaan-bacaan umum. Ini berlaku kerana masyarakat telah lama dipasak minda mereka bahawa Ilmu perlu dipelajari dari guru dan tidak sewenang-wenang boleh membaca ilmu-ilmu itu dari mana-mana sumber samada buku atau internet. Masyarakat Islam di Malaysia lupa seruan "iqra" adalah perkataan pertama dalam Kitab besar mereka sendiri.
Dengan rela atau dengan paksa, kita harus menelan realiti itu. Dalam konteks negara Malaysia dan agama Islam khasnya, perkara di atas terjadi dengan cara berleluasa dan mendapat tempat di hati masyakatnya.
6.0 Manusia Perlukan Agama Sepanjang Masa.
Agama merupakan perkara universal dalam kehidupan manusia. Sebahagian besar umat manusia di bumi ini yang pelbagai latar belakang etnik, geografi, iklim dan budaya, menganuti salah satu agama. Agama telah ada sejak manusia wujud dan menjadi bahagian yang tidak terpisah daripada kehidupan manusia. Saat ini kecenderungan manusia moden untuk kembali kepada agama semakin kuat. Kekhuatiran bahawa agama akan ditinggalkan ternyata tidak terbukti. Agama tetap di perlukan oleh manusia sepanjang masa.
Pandangan seseorang terhadap agama, ditentukan oleh pemahamannya terhadap ajaran agama itu sendiri. Ketika pengaruh gereja di Eropah menindas para ilmuwan akibat penemuan mereka yang dianggap bertentangan dengan kitab suci, para ilmuwan pada akhirnya menjauhi dari agama bahkan meninggalkannya. Jadi, apakah agama masih relevan dengan kehidupan masa kini yang cerminannya seperti digambarkan di atas? Apakah benar seperti ungkapan Karl Marx bahawa agama adalah dadah masyarakat yang hanya menjanjikan keseronokan sementara untuk melupakan perit getir kehidupan yang sebenar dalam kehidupan rialiti? (Feel Good Factor)
Sebelum menjawabnya, perlu terlebih dahulu dijawab: Apakah manusia dapat melepaskan diri daripada agama? Atau adakah alternatif lain yang dapat menggantikannya?
Dalam pandangan agama Islam, keberagamaan adalah fitrah sesuatu yang melekat pada diri manusia dan terbawa sejak kelahirannya. Oleh kerana agama adalah fitrah atau sejalan dengan jati diri, maka ia pasti dianuti oleh setiap manusia, kalaupun bukan sejak dari lahir, maka menjelang akhir usianya. Firaun yang derhaka dan merasai dirinya Tuhan pun pada akhirnya bertaubat dan ingin beragama tetapi sayang kerana sudah terlambat. Kerana agama adalah fitrah, maka ia tidak boleh dan tidak perlu dipaksakan. Mengapa harus memaksa? Tuhan tidak perlu pada paksaan dan akhirnya pun Dia dan agama-Nya diakui. Bukankah agama itu fitrah?
Ini bererti manusia tidak dapat melepaskan diri daripada agama.
Tuhan menciptakan demikian kerana agama merupakan keperluan hidupnya. Memang manusia dapat menangguhkannya sekian lama, boleh jadi sampai dengan menjelang kematiannya. Tetapi pada akhirnya, sebelum roh meninggalkan jasad, ia akan merasa keperluan itu. Memang desakan pemenuhan keperluan bertingkat-tingkat. Keperluan manusia terhadap air dapat ditangguhkan lebih lama jika dibandingkan dengan keperluan udara. Begitu juga keperluan manusia terhadap makanan jauh lebih singkat dibandingkan dengan keperluan manusia untuk menyalurkan naluri seksual.
Demikian juga keperluan manusia terhadap agama dapat ditangguhkan tetapi tidak untuk selama-lamanya.
William James menegaskan bahawa, selama manusia masih memiliki naluri cemas dan mengharap, (Kebergantungan?) selama itu pula ia beragama (berhubungan dengan Tuhan). Itulah sebabnya mengapa perasaan takut merupakan salah satu dorongan yang terbesar untuk beragama.
Murtadha Muthahhari menjelaskan sebahagian fungsi dan peranan agama dalam kehidupan ini tidak mampu dimainkan oleh ilmu dan teknologi. Jelasnya ilmu mempercepat anda sampai ke tujuan, agama menentukan arah yang dituju. Ilmu menyesuaikan manusia dengan lingkungannya dan agama menyesuaikan dengan jati dirinya. Ilmu hiasan lahir dan agama hiasan batinnya. Ilmu memberikan kekuatan dan menerangi jalan dan agama memberi harapan dan dorongan bagi jiwa.
Ilmu menjawab pertanyaan yang dimulai dengan bagaimana dan agama menjawab yang dimulai dengan mengapa.
Ilmu selalu mengeruhkan fikiran pemiliknya sedangkan agama selalu menenangkan jiwa pemeluknya yang tulus. Bukankah kenyataan hidup masyarakat Barat membuktikan hal tersebut? Manusia merangkumi akal, jiwa dan jasmani. Akal atau rasional ada wilayahnya. Tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau bahkan dihadapi oleh akal. Karya seni tidak dapat dinilai semata-mata oleh akal kerana yang lebih berperanan di sini ialah kalbu.
Akal bagaikan kemampuan berenang. Akal berguna saat berenang di sungai atau di laut yang tenang tetapi bila ombak dan gelombang telah menerjah, maka yang pandai berenang dan yang tidak boleh berenang sama-sama memerlukan pelampung.
Dalam hubungannya dengan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, agama sesungguhnya sangat berperanan, terutama jika manusia tetap ingin menjadi manusia. Apakah perkara-perkara ini kita katakan sebagai dadah kepada masyarakat? Apakah perkara-perkara baik yang dibentuk oleh agama ini adalah perkara yang baik atau buruk? Yang dapat menjawabnya hanyalah pada nilai-nilai agama dan bukan seni, dan bukan juga pada falsafah.
7.0 Kesimpulan
Manusia dan agama tidak dapat dipisahkan. la telah dibuktikan kebenarannya disepanjang perjalanan sejarah manusia. Tanpa agama, manusia rugi, dan tidak mampu untuk melakar kegemilangan tamadun dan kesempumaan roh, jiwa, jasad dan peradaban hidupnya. Agama merupakan tunjang kehidupan setiap insan. Kehidupan beragama membina kesejahteraan dan kecemerlangan kepada individu, masyarakat bahkan kepada sesebuah negara. (Namun "misuse" dan 'abuse' mencemarkannya?)
Manusia dan agama tidak dapat dipisahkan. la telah dibuktikan kebenarannya disepanjang perjalanan sejarah manusia. Tanpa agama, manusia rugi, dan tidak mampu untuk melakar kegemilangan tamadun dan kesempumaan roh, jiwa, jasad dan peradaban hidupnya. Agama merupakan tunjang kehidupan setiap insan. Kehidupan beragama membina kesejahteraan dan kecemerlangan kepada individu, masyarakat bahkan kepada sesebuah negara. (Namun "misuse" dan 'abuse' mencemarkannya?)
Di Malaysia, keunikan memiliki masyarakat pluralistik wajar dilihat secara optimis. Kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh setiap etnik dengan pelbagai latar belakang agama, budaya dan nilai hidup perlu dikongsi bersama tanpa ada yang mengambil kesempatan dengan sesuatu perkara yang telah disalahgunakan sebagai kononnya jalan agama dan "the way of life". Kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia di negara ini adalah hasil usaha yang nyata yang diusahakan oleh rakyatnya yang berkerja keras berpandukan ajaran agama masing-masing dan ianya adalah kesejahteraan yang nyata dan setiap mereka tidak beranggapan bahawa agama adalah semata-mata dadah kepada masyarakatnya. (Bagaimana masyarakat betul-betul menangani perkara-perkara yang benar-benar nyata dari seruan agama dan bukan dari seruan yang menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja).
Karya :
AnnDee72
Universiti Sains Malaysia
BIBLIOGRAFI
Bashir
(2002). Agama : Menumpulkan Rasa Sakit Kaum Tertindas, Jakarta, Pustaka Pelajar
Mills,
C. Wright, (2003), Kaum Marxis Ide-Ide
Dasar dan Sejarah Perkembangannya, Yogyakarta, Pustaka Pelajar
Suhelmi,
Ahmad. (2007). Pemikiran Politik Barat: Kajian Sejarah Perkembangan
Pemikiran Negara, Masyarakat dan Kekuasaan. Jakarta: PT Gramedia Pustaka
Utama.
Rujukan Dari Internet
Abd
Majid, Shauki. (December, 14, 2009) Manusia
Dan Agama From; http://arkib.mykmu.net
Admin
Unit Krohanian Islam, (Mei, 20, 2011) Kritik Agama Adalah Candu From; http://thepowerofukhuwah.blogspot.com
Admin,
(Jun, 02, 2011) Manusia Memerlukan Agama From; http://langkahseorangmusafir.blogspot.com
Sam.Si,
(February, 24, 2010) Agama; Candu
Masyarakat Retrieved Jan 12, 2013, From; http://samsi.wordpress.com
Ummahonline,
(Mac, 25, 2007) Mansuia dan Keperluan
Agama From; http://ummahonline.wordpress.com
Wikipedia,
Agama From; http://ms.wikipedia.org/wiki/Agama
